"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya.
Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak
Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah
mula sebak.
"Tak.
Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya
menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin
tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ..Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia
kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan
tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan
di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual
Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya
banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan
pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa
inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang
serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit
sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat
sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan
agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih
dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap
kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri
kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun
sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha
Syazni tersebut.
Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni
berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal
jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat
seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak
akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi
pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan
dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar
takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas
berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui
Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah
atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak.
Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik
pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan
Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya
kepada Fulanah.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan
yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa
apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.
"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi
sedikit malu.
"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja
dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah,
Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga,
makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah
untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah.
Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun,
inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami
melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula
yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam
perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang
sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah
Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak
kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya
membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni
yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah
sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi
fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh
ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan
dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama
yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama
bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan
menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai
punca serta merendahkan harga diri ..mu dengan terjadinya perceraian suamimu
dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau
insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan
dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama
baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam.
Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam
sanubari isterimu…
Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan
islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!
What i read this morning
8 years ago
0 comments:
Post a Comment